Jumat, 01 April 2011

11: SEMANGAT PERKAUMAN


Setiap manusia diciptakan dengan membawa identity khusus baginya. Identiti mula diperolehi seseorang manusia ketika dia berada di dalam sulbi bapanya, sebelum lagi dia menjadi air mani. Kemudian dia turun ke kandungan ibunya membawa bersama-samanya identity yang diwarisi daripada bapanya. Bila cukup saatnya dia pun keluar ke dunia dan nyatalah identity yang sentiasa menemaninya itu. Identiti tersebut menyebabkan dia dikenali sebagai satu individu yang menzahirkan beberapa aspek pengenalan. Identiti yang dimilikinya membuatnya dikenali sebagai seorang manusia yang boleh dibezakan dari haiwan dan makhluk yang lain. Identiti itu juga memungkinkan dia dikenali sebagai seorang manusia yang berbangsa tertentu. Identiti itu juga menyebabkan dia dikenali sebagai satu individu bagi satu keluarga atau keturunan. Identiti itu bertindak seperti kilang menghasilkan naluri-naluri mencintai sesuatu aspek yang dengannya dia dikenali. Naluri itu boleh dibahasakan sebagai perasaan atau semangat. Pada peringkat individu semangat itu muncul sebagai “AKU’. Semangat keakuan menjadi induk kepada semua semangat. Semangat keakuan yang dimiliki oleh setiap individu mengwujudkan sistem hakmilik perseorangan yang dihormati oleh individu yang lain. Maka bolehlah dikata dan diterima kenyataan; nama aku, anak aku, isteri aku, tanah aku, pekerjaan aku, maruah aku dan berbagai-bagai tuntutan yang lain yang diperakui oleh individu yang lain. Satu contoh yang ketara tentang semangat keakuan ini ialah ketika seseorang melihat sekeping gambar yang memaparkan ramai orang. Semangat keakuan menggesa seseorang supaya mencari wajahnya dicelah-celah puluhan wajah dalam gambar itu.
Semangat keakuan bukan sahaja mengwujudkan sistem hakmilik. Semangat ini juga melahirkan kecenderungan untuk mempertahankan hakmilik. Mempertahankan hakmilik itu sebenarnya adalah mempertahankan semangat keakuan itu sendiri. Kekuatan semangat ini ada dalam beberapa peringkat. Bila ia naik ke paras yang tinggi ia menjadi semangat taksub kepada diri sendiri serta mementingkan diri sendiri. Ia bukan sahaja mempertahankan hakmiliknya malah ia juga cuba merampas hakmilik individu lain. Bila ia berada pada tahap pertengahan ia dipanggil melindungi hakmilik sendiri tanpa mengancam hakmilik orang lain. Bila ia turun ke paras rendah ia menjadi semangat yang tidak mementingkan diri sendiri dan bersedia untuk berpisah dengan sesuatu yang termasuk ke dalam tuntutan hakmiliknya.
Pada peringkat individu seseorang itu mempunyai identity yang khusus. Walaupun identity itu khusus namun identity itu masih mempunyai faktor kesamaan dengan beberapa individu yang lain. Individu-individu yang berkongsi faktor kesamaan itu akan berkongsi hakmilik yang serupa atau sama. Perkongsian hakmilik yang paling hampir dengan satu-satu individu ialah semangat kekeluargaan. Identiti itu juga boleh berkongsi faktor kesamaan untuk membentuk ikatan yang lebih besar. Bila bangsa menjadi faktor kesamaan maka yang terbentuk adalah semangat kebangsaan. Bila negeri menjadi faktor kesamaan maka yang terbentuk adalah semangat kenegerian. Banyak jenis faktor kesamaan yang boleh mengikat berbagai-bagai individu. Antaranya ialah kelab, kelas, persatuan dan lain-lain. Jadi pada satu individu itu semangat keakuannya boleh menuntut dan mempertahankan hakmilik kekeluargaan, kedaerahan, kenegerian dan kenegaraan dengan menjadikan kebangsaan sebagai induk kepada semua perkongsian. Keakuan yang bergerak melalui jalan kebangsaan boleh membentuk kesatuan negara-negara yang sama rumpun bahasa. Keakuan juga boleh bergerak melalui keagamaan dan ia mampu membentuk kesatuan negara-negara seagama yang lebih besar kumpulannya daripada kesatuan melalui kebangsaan. Selain itu keakuan juga boleh bergerak melalui kemanusiaan. Bila kemanusiaan menjadi faktor kesamaan maka semua bangsa dan semua negara di dunia boleh membentuk kesatuan seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Walaupun keakuan menggabungkan dirinya ke dalam perkumpulan namun, kepentingan keakuan itu sendiri tidak terhapus hanya mungkin lebih terkawal. Apabila berada dalam kumpulan kecil kepentingan peribadi lebih menguasai keakuan itu. Bila kumpulan lebih besar terbentuk kepentingan kedaerahan, kenegerian dan kebangsaan lebih menonjol. Ini bermakna keakuan boleh berubah menjadi kedaerahan, kekelaban, kenegerian, kebangsaan, kenegaraan, keagamaan dan sebagainya. Walaupun ia memakai pakaian yang berbeza-beza namun ia tetap berasaskan keakuan individu itu sendiri. Jadi, tenaga yang telah memasuki seseorang individu itu tetap mempengaruhi keakuannya walaupun ia memakai pakaian yang berbagai-bagai. Tenaga yang telah menguasai seseorang itulah yang mempengaruhi tindak-tanduk individu itu di dalam pakaian semasa yang dipakainya.
Kita telah melihat bagaimana seseorang itu dimasuki oleh berbagai-bagai jenis tenaga perosak. Tenaga perosak itu akan bergerak melalui individu tersebut untuk masuk ke dalam kumpulan yang dianggotainya. Biasanya ia akan masuk sebagai tenaga taksub kepada kumpulan, yang berasaskan taksub kepada diri sendiri. Kepentingan diri yang tersembunyi di dalam kepentingan kumpulan itulah yang dijadikan topeng. Tenaga taksub ini akan memperlihatkan yang kumpulannya sahaja yang mempunyai hak dan yang benar. Sering kali tenaga taksub membuat manusia bertindak di luar batas kemanusiaan.
Kita pernah menyaksikan kesan tenaga taksub yang mencetuskan kekacauan pada perlawanan bola sepak. Bermula dengan taksub kepada kedirian satu kumpulan manusia yang berkongsi faktor kesamaan yang serupa bergabung untuk mengwujudkan tenaga taksub yang sangat kuat. Tenaga taksub itu tidak mahu tunduk kepada kekalahan. Jika kumpulannya kalah maka kekalahan itu adalah kerana ia dikhianati. Apabila berhadapan dengan kekalahan tenaga taksub akan mencari si pengkhianat. Biasanya yang menjadi ‘pengkhianat’ dalam perlawanan bola sepak adalah pengadil dan penjaga garisan. Pemain-pemain lawan juga boleh menjadi ‘pengkhianat’ kerana mencederakan pemain harapannya. Jika tenaga taksub ini keluar secara terkawal maka yang keluar hanyalah rungutan dan makian sebagai menunjukkan kemarahan kepada pengadil, penjaga garisan dan pemain-pemain lawan. Jika tenaga taksub dapat menguasai mangsanya dengan sepenuhnya maka akan tercetuslah ‘peperangan menghapuskan pengkhianat’. Oleh kerana tenaga taksub bergerak dalam kedua-dua kumpulan yang terlibat maka bertembunglah tenaga yang kuat dari dua pihak itu. Bila taksub sudah menguasai akal fikiran tidak terdaya lagi mengawal. Terjadilah kekacauan yang besar. Dua kumpulan yang besar ‘berperang’ yang pada asasnya adalah dua individu yang taksub kepada diri masing-masing.
Taksub kedirian apabila bergerak melalui kaum atau bangsa akan terbentuklah semangat perkauman yang melampau. Semangat perkauman yang sederhana adalah sesuatu tabiat yang semulajadi bagi manusia. Semangat ini yang mendorong manusia mencari kesejahteraan kepada bangsa mereka. Ia juga merupakan semangat menyintai bangsa. Boleh dikatakan semua anggota sesuatu bangsa mempunyai rasa kecintaan kepada bangsa sendiri. Ia adalah sesuatu yang normal. Tetapi sekiranya ia menjulang tinggi melebihi batas normal ia menjadi melampau, bertukar kepada taksub. Ahli bangsa yang normal, yang tidak taksub, akan bekerja membangun bangsa sendiri tanpa melupai bangsa lain yang juga mempunyai hak dan kepentingan. Golongan yang seperti inilah yang biasanya menjadi pemimpin bangsa yang boleh berkompromi dengan pemimpin bangsa yang lain, yang juga tidak taksub. Pekerjaan pemimpin yang begini akan mendapat tentangan daripada individu-individu yang taksub dalam kumpulan bangsanya dan juga bangsa lain. Apabila tenaga taksub dapat mengalahkan tenaga kewarasan akan timbullah rusuhan kaum, sebagaimana yang dapat dilihat berlaku di seluruh dunia.
Bagi setiap bangsa ada sesuatu yang ditaksubkan oleh kebanyakan ahli anggota bangsa tersebut. Sesuatu itu adalah hak bangsa. Hak bangsa itu boleh jadi kuasa politik, kuasa ekonomi, kebudayaan dan adat resam atau apa sahaja yang dicintai oleh kebanyakan ahli bangsa itu. Tenaga taksub yang terkawal akan keluar dari kandangnya jika hak bangsa ini dicabuli. Oleh yang demikian menghormati hak sesuatu bangsa itu penting untuk membendung berlakunya rusuhan antara kaum. Bangsa-bangsa yang terlibat harus memahami dan menghormati hak bangsa lain dan memperakui keluhuran bangsa itu mempertahankan hak mereka. Semua bangsa harus sampai kepada titik persefahaman bersama.
Semangat perkauman yang taksub harus ditekan dengan semangat kemanusiaan yang murni. Semua manusia dinamakan manusia kerana mereka mempunyai kemanusiaan. Begitu juga semua haiwan dinamakan haiwan kerana mereka mempunyai kehaiwanan. Manusia sejak kewujudan manusia yang pertama Hinggalah kepada manusia yang terakhir akan tetap memiliki kemanusiaan. Kemanusiaan sejak manusia yang pertama akan tetap mengikat keturunan manusia, sehingga tidak ada manusia yang menjadi haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Andaikata rantaian kemanusiaan ini putus akan berlakulah kekacauan pada kelahiran manusia, mungkin ramailah ibu-ibu yang tidak melahirkan manusia sebaliknya melahirkan harimau, tikus, rambutan, ikan dan lain-lain. Tetapi oleh kerana rantaian kemanusiaan tidak putus dan tidak akan putus maka ibu-ibu akan terus melahirkan manusia sehinggalah kepada ibu terakhir yang melahirkan anak. Jadi, semua manusia diikat oleh kemanusiaan.
Apakah kemanusiaan? Bagaimanakah rupanya? Kemanusiaan adalah tanda pengenalan yang membezakan manusia daripada yang bukan manusia. Haiwan mempunyai tanda pengenalannya dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Tanda itulah yang menyebabkan satu jenis dapat dikenal dan dibezakan daripada jenis yang lain. Tiap jenis membawa unsur atau sifat khusus untuk jenisnya yang dengan itulah ia dikenal. Kemanusiaan membawa unsur atau sifat khusus yang boleh membezakannya daripada bukan manusia. Walaupun manusia dikenali sebagai manusia kerana unsur atau sifat kemanusiaan yang menguasainya namun tidak ada sesiapa yang dapat melukis rupa kemanusiaan itu. Orang boleh melukis rupa Ali, Ah Chong dan Mutusami tetapi tidak mampu melukis rupa kemanusiaan yang dimiliki oleh Ali, Ah Chong dan Mutusami sedangkan kemanusiaan itulah yang menyebabkan Ali, Ah Chong dan Mutusami dikenali sebagai manusia.
Kemanusiaan bukanlah sesuatu yang boleh digambarkan. Tidak ada alat yang dapat menzahirkan kemanusiaan. Jika dicari kemanusiaan pada semua manusia yang masih hidup dan juga yang telah mati, kemanusiaan hanya boleh diakui kewujudannya tetapi tidak dapat ditemui. Ia tidak boleh ditemui dalam diri manusia tetapi diakui mengikat semua manusia. Jadi, semua manusia adalah serupa, iaitu mereka berkongsi kemanusiaan yang sama. Mereka adalah satu bangsa iaitu bangsa manusia. Tidak ada manusia yang berbangsa haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau jin. Manusia yang satu bangsa itu berpecah-pecah kepada berbagai-bagai bangsa berdasarkan sifat keakuan yang mengheret mereka pada jalan kekeluargaan dan kumpulan. Fakta sejarah dan geografi mengikat manusia secara berkumpulan. Apa yang dipanggil bangsa itu sebenarnya hanyalah keakuan individu-individu yang berkongsi hakmilik terhadap kesan sejarah dan geografi yang sama. Manusia menjadi berbeza-beza lantaran hakmilik bangsa yang diwujudkan oleh sejarah dan geografi. Tetapi manusia tetap sama dari segi kemanusiaan. Semua manusia berkongsi nilai-nilai murni kemanusiaan yang sama. Nilai-nilai murni kemanusiaan itulah yang mendorong semua bangsa membentuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Kemanusiaan membuat manusia memiliki sistem nilai yang serupa. Hanya Perbezaan yang kecil sahaja terdapat di sana sini. Semua bangsa manusia mengakui mencuri dan membunuh itu salah. Oleh sebab sistem penilaian yang ada pada diri manusia itu serupa maka ahli satu bangsa boleh menggubal undang-undang dan tatacara yang mampu diterima oleh semua bangsa di dunia. Nilai-nilai murni kemanusiaan selalunya ditekan oleh tenaga taksub keakuan dan kebangsaan. Tenaga-tenaga perosak yang menguasai manusia menggunakan taksub sebagai alasan untuk meruntuhkan nilai-nilai murni tersebut. Oleh sebab pentingnya memelihara nilai yang murni daripada dinodai oleh ketaksuban yang hilang pertimbangan maka wujudlah apa yang dikenali sebagai agama.
Ajaran yang dibawa oleh agama-agama boleh dibahagikan kepada dua bahagian besar. Pertama, hubungan manusia dengan manusia. Kedua, hubungan manusia dengan Tuhan. Agama bercanggah pandangan tentang Tuhan tetapi berpakat dalam kebanyakan hal yang menyentuh kemanusiaan. Dalam aspek kemanusiaan agama menyetujui nilai-nilai murni yang sudah ada pada kemanusiaan. Nilai buruk dan baik yang dibentangkan oleh kemanusiaan itulah juga nilai buruk dan baik yang dibentangkan oleh agama. Kemanusiaan dan agama sama-sama menyalahkan perbuatan seperti mencuri, membunuh, rasuah dan lain-lain. Tidak ada percanggahan di antara agama dengan kemanusiaan. Ahli fikir dapat menghasilkan perundangan kemanusiaan yang selaras dengan agama tanpa merujuk kepada ahli agama. Di sini dapat dilihat betapa sesuainya kebanyakan agama dengan kemanusiaan.
Agama mempunyai tarikan dan pengaruh yang kuat terhadap manusia. Oleh itu tenaga agama seharusnya digunakan dengan bijak di dalam membendung api perkauman. Agama harus menjadi alat yang penting dalam mengharmonikan berbagai-bagai kaum, bangsa dan agama dalam sesebuah negara. Setiap penganut sesuatu agama harus didedahkan kepada nilai murni yang diperjuangkan oleh agama tersebut dan mereka juga harus disedarkan bahawa penganut agama lain juga memperjuangkan nilai murni yang serupa. Titik pertemuan dan persefahaman dalam agama-agama harus ditonjolkan supaya semua pihak berjuang ke arah yang sama yang tidak bertentangan dengan nilai yang sudah dimiliki oleh semua orang. Wakil tiap-tiap agama harus lebih kerap berjumpa dan berbincang bagi membentuk arah kehidupan rakyat di dalam satu-satu negara itu. Jika konsep ketuhanan tidak dijadikan isu perbalahan maka semua ahli-ahli agama-agama dapat duduk dengan harmoni membincangkan isu manusia sejagat.
Perlu pula diingatkan bahawa dalam kumpulan agama terdapat juga individu yang dikuasai oleh tenaga taksub. Tenaga taksub yang merosakkan apabila memakai pakaian agama akan lebih sukar dikawal. Taksub yang berjaya menggunakan agama dapat menguasai mangsanya dengan kuat. Orang berkenaan tidak dapat mengawal perasaannya dalam banyak perkara yang dianggapnya sensitif bersabit dengan agama, padahal kehendak agama berbeza daripada fahamannya. Paling merbahaya ialah tenaga taksub dapat menggunakan isu yang paling mulia di sisi agama iaitu jihad. Isu jihad membuat orang sanggup membunuh dan dibunuh. Orang yang dikuasai oleh taksub yang menggunakan agama akan membunuh dan dibunuh dengan keyakinan dia berjihad, padahal jihad yang dikehendaki oleh agama tidak seperti yang diperjuangkannya. Jihad agama yang tulen dengan jihad yang digerakkan oleh tenaga taksub kedirian sangat berbeza.
Saidina Ali r.a telah menunjukkan cara berjihad yang tulen. Dalam satu peperangan Beliau r.a telah dapat menguasai musuhnya. Musuh itu sudah jatuh ke tanah dan tidak berupaya lagi mempertahankan diri. Ali r.a sudah pun mengangkat pedangnya untuk memancung musuh Allah itu. Pada ketika itu juga musuh Allah itu memaki-maki Ali r.a. Tiba-tiba Ali r.a menjatuhkan pedangnya dan melepaskan musuhnya itu. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian Ali r.a menceritakan bahawa tatkala dia mengangkat pedang untuk membunuh musuh itu dia mahu membunuhnya kerana Allah. Bila musuh itu memakinya dia mahu membunuh musuh itu kerana dirinya bukan kerana Allah. Sebab itulah beliau a.s membebaskannya kerana  tidak mahu mencabut nyawa manusia melainkan kerana Allah. Inilah yang dinamakan jihad yang tulen. Selain itu bukan jihad tetapi semangat dan tenaga taksub yang merasuk seseorang dengan berselindung di sebalik agama.
Ahli masyarakat haruslah dapat membezakan di antara semangat perkauman yang sihat dengan semangat perkauman yang tidak sihat. Kedua-duanya memang menyintai kaum atau bangsa masing-masing dan bersedia mempertahankan hak kaum atau bangsanya itu. Perbezaan antara keduanya ialah semangat yang sihat boleh melihat kebenaran dan kesalahan yang berlaku dalam kalangan mereka dan boleh juga melihat kebenaran dan kesalahan yang berlaku dalam kumpulan lain. Mereka boleh berbincang dan menerima pendapat yang baik daripada kaum lain. Mereka mempertahankan hak mereka tanpa menceroboh hak kaum lain.
Semangat yang tidak sihat pula tidak melihat tetapi terus membuat hukuman bahawa kaum mereka sentiasa benar dan tidak mungkin bersalah. Hanya pendapat kaum mereka sahaja yang didengar. Kaum lain sentiasa tidak benar dan bersalah, dan pendapat mereka tidak boleh dipakai. Golongan yang sihat lebih cenderung untuk bermusyawarah sementara golongan yang tidak sihat lebih menekankan soal ‘jihad’. Konsep jihad ada pada semua agama. Oleh yang demikian semua pemuka atau pemimpin agama berkewajipan mengawal tenaga taksub yang cuba menggunakan senjata yang merbahayakan ini.
Jika kita soroti penyakit perkauman yang dihadapi oleh seseorang individu kita akan dapati ia berpangkal kepada tenaga-tenaga penyakit yang menguasai dirinya sendiri. Tenaga-tenaga ganas, dendam dan yang seumpamanya terpendam dalam dirinya tidak dapat keluar membaham orang yang diingininya. Perkauman atau perkumpulan menjadi jalan keluar bagi tenaga tersebut melepaskan geramnya. Orang yang semacam inilah mengamuk di atas padang bola dengan alasan dialah peminat setia pasukan negeri atau kelabnya. Dia tidak sedar yang dirinya sudah menjadi tunggangan tenaga perosak yang tidak menemui jalan keluar. Orang lain juga menjadi peminat dan penyokong setia tetapi dapat mengakui kemasukan bola ke dalam jaring pasukannya sebagai gol sementara dia menganggapnya sebagai bukan gol malah ia adalah penipuan.
Ahli taksub bukan sahaja bergerak di atas padang bola. Ia boleh bergerak di mana-mana sahaja termasuklah Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Negeri. Ada ahli dewan yang menutup telinga, mata dan mulutnya ketika perbahasan kemudian secara spontan mengangkat tangannya apabila ahli kumpulannya membuat usul. Apabila ahli kumpulan lain membuat perbahasan ahli yang menutup telinga, mata dan mulut tadi akan membuka semuanya untuk menggangu perbahasan yang sedang berjalan. Semangat perkauman yang ditunjukkan di dewan-dewan boleh merebak ke kampung-kampung untuk membakar segala usaha yang dibuat untuk membendung rusuhan kaum. Rakyat seharusnya dididik untuk berfikir dan memandang secara sejagat selaras dengan ajaran agama, bukan terkongkong dengan kedaerahan dan perkauman yang sempat yang sama sekali tidak sesuai dengan kehendak agama.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar