Jumat, 01 April 2011

4: PENYAKIT KETAGIH KERJA


Ketagih kerja merupakan satu fenomena hidup yang popular di kalangan masyarakat dunia hari ini. Orang yang ketagih kerja samalah seperti orang yang ketagih arak dan dadah. Dia merasakan sesuatu tidak kena pada dirinya melainkan jika dia berada dalam suasana pekerjaannya, samada dia melakukan pekerjaan ataupun memikirkan tentang pekerjaan. Dia pergi ke tempat kerjanya lebih awal daripada pekerja-pekerja lain dan dia pulang paling lewat. Dia biasa pergi ke pejabatnya pada waktu malam untuk menyiapkan kerjanya. Dia juga biasa membawa  pulang fail-fail pejabat ke rumah untuk disiapkan Sebelum menjelang waktu kerja pagi esoknya. Dia memberus gigi sambil memikirkan tentang kerjanya. Dia bersarapan sambil memikirkan tentang kerjanya. Dia memandu kereta sambil memikirkan tentang kerjanya. Dia berjalan sambil memikirkan tentang kerjanya. Walaupun kebanyakan daripada masa sudah dihabiskan untuk kerja namun, dia masih merasakan masih ada kerja yang belum diselesaikannya. Dia masih juga mecari peluang untuk membuat kerjanya.
Orang ini melakukan kerjanya dengan cermat. Begitu yang dikehendakinya daripada pekerja-pekerja di bawahnya. Dia membuat kerjanya dengan teliti. Dia juga mengawasi kerja orang lain supaya mereka juga membuatnya dengan teliti. Dia tidak dapat menerima sebarang kesilapan, walaupun kesilapan itu kecil pada pandangan orang lain. Dia mahu kerja dilakukan dengan tepat, kemas dan sempurna.
Semua masa dan kesempatan digunakannya untuk kerja. Dia tidak ada masa untuk kegiatan yang tidak bersangkutan dengan kerjanya. Dia jarang mengambil peluang untuk menghadiri majlis perkahwinan dan kematian yang diadakan dalam masyarakat sekalipun melibatkan keluarga yang terdekat. Dia juga tidak berkesempatan untuk menghantarkan anaknya yang sakit ke klinik, apalagi mahu membawa keluarganya bersiar-siar. Semuanya diuruskan oleh isterinya. Urusan rumahtangga adalah urusan isteri. Dia pula bertanggungjawab ke atas tugas menyara kehidupan keluarga. Bila tugas utama dilakukannya dengan baik dan sempurna maka perkara-perkara lain yang kurang utama boleh dilakukan oleh orang lain. Dia tidak Perlu lagi diganggu dengan perkara yang tidak penting.
Prinsip hidup orang ini ialah “Pekerjaan diutamakan!”. Orang sakit boleh sampai ke hospital tanpa campur-tangannya. Orang mati boleh bersemadi di dalam tanah tanpa campur-tangannya. Orang yang mahu berkahwin b oleh menghadap Qaddi tanpa campur-tangannya. Anak isteri boleh meneruskan kehidupan mereka dengan segala kemudahan yang disediakannya, tidak perlu lagi merenget kepadanya. Tetapi, pekerjaannya tidak boleh menjadi sempurna tanpa penglibatan dirinya. Sentuhan ajaibnya penting bagi menjamin urusan pekerjaan berjalan dengan lancar. Di tempat kerja itu dia adalah umpama jantung yang mengepam darah ke seluruh anggota tenaga kerjanya. Jika dia tidak berfungsi maka semua anggota akan menjadi lumpuh. Oleh sebab anggota kerjanya tidak boleh berfungsi dengan baik jika dia tidak hadir, sebaliknya masyarakat boleh terus bergerak tanpa kehadirannya, oleh itu wajar baginya menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaan dan dia tidak perlu melibatkan dirinya dengan aktiviti masyarakat.
Orang ini tidak memperdulikan pandangan jiran dan masyarakat terhadap dirinya. Mereka boleh berkata apa sahaja, yang penting dia mempunyai kesedaran bahawa dia tidak merosakkan dan menyusahkan sesiapa. Walaupun dia tidak menyertai aktiviti masyarakat namun, dia tidak menghalang anak isterinya berubat demikian. Jadi, baginya tidak ada apa yang kurang dan membolehkan masyarakat menuntut sesuatu daripadanya. Soal sebahagian anggota masyarakat mencemuh dan beranggapan yang tidak baik terhadap dirinya itu adalah soal remeh-temeh yang tidak perlu diberi perhatian. Keadaan yang sama juga berlaku antara orang ini pekerja-pekerja bawahannya. Dia tidak menghiraukan anggapan dan tohmahan mereka. Mereka boleh mengatakan apa sahaja mengenainya.  Mereka boleh meletakkan gelaran apa sahaja kepadanya. Dia tidak berasa tersinggung. Padanya sudah menjadi perkara biasa bagi orang yang menjalankan pekerjaan yang baik menerima tentangan daripada setengah pihak. Perkara yang penting adalah mereka yang tidak menyukainya tidak menemui kesalahannya. Dia tidak sensitive terhadap ahli masyarakat dan ahli tempat kerja. Tetapi, dia sangat sensitif terhadap tiga orang, iaitu ketuanya, isterinya dan anaknya. Dia mudah tersinggung jika ketuanya mengkritik pekerjaannya yang telah dibuatnya dengan sebaik mungkin. Dia mudah melenting jika isterinya mengingatkannya tentang soal urusan rumahtangga dan jiran mereka. Dia mudah meradang jika anaknya tidak mendengar cakapnya.
Orang yang menghidapi penyakit ketagih kerja biasanya dapat menikmati kejayaan dalam kerjayanya bagi satu tempoh. Tidak dapat dipastikan berapa lama dia boleh bertahan dengan kejayaan tersebut. Tetapi, yang pasti dia akan sampai kepada had maksimum kejayaannya kemudian keupayaannya akan menjunam turun. Dia telah menambahkan penggunaan kuasanya dari hari ke hari, bertahan-tahun lamanya, sehingga sampai kepada peringkat kilang pengeluaran kuasanya tidak mampu membekalkan kuasa yang diperlukannya. Dia terus memaksa jentera kilangnya supaya terus meningkatkan bekalan kuasa. Pada satu peringkat dia menyangka keupayaannya menurun. Sebenarnya dia sentiasa meningkat sehingga dia sampai kepada had maksimum. Pada had maksimum itu dia bertahan, tidak meningkat, lalu dia menyangkakan itu sebagai tanda kemerosotan. Orang yang tidak sedar bahawa dia telah sampai kepada had maksimum keupayaannya, masih juga memaksa jenteranya mengeluarkan kuasa yang lebih, maka orang ini akan menemui mala petaka yang besar. Ibaratnya orang yang tidak yang dia sudah berada di puncak bukit dan dia terus juga menekan minyaknya, dia enggan menekan brek, maka dia akan meluncur turun dengan lajunya lalu terjun ke dalam gaung. Kita boleh temui orang-orang yang sedemikian di dalam berbagai-bagai golongan masyarakat. Seorang seniman pada zaman kegemilangannya berjaya menghasilkan karya yang bermutu tetapi dia sampai kepada tahap memaksa dirinya melakukan lebih daripada kemampuannya, dia tidak lagi mampu menghasilkan karya bermutu. Seorang pemimpin yang asalnya berkarismatik, apabila sampai kepada peringkat memaksa dirinya agar lebih berkarismatik, dia akan berubah menjadi seorang badut. Seorang ahli perniagaan yang tidak tahu mengubah haluan apabila dia sampai ke penghujung bidangnya akan membawa kejatuhan kepada empayarnya. Seorang pelajar yang memaksa dirinya agar belajar lebih daripada kemampuannya akhirnya terperangkap untuk membaca ayat yang sama berulang-ulang dan dia tidak berdaya untuk berpindah kepada ayat yang lain.
Sesiapa sahaja yang sampai kepada benteng kebuntuan hendaklah membuat kaji-selidik mengenai dirinya. Orang yang mengikuti kedegilan nafsunya dengan merempuh benteng kebuntuan itu akan tercampak ke dalam dimensi lain yang tidak ada kenyataan di dalamnya. Apa yang ada hanyalah kekeliruan. Orang sesat di dalam kekeliruan akan lebih sukar untuk kembali ke alam nyata. Tidak sedikit bilangan manusia yang sesat di dalam alam kekeliruan dan tidak dapat kembali ke alam nyata, kesudahannya mereka bermastautin di hospital sakit jiwa.  Jadi, janganlah cuba-cuba menembusi benteng kebuntuan itu, sekalipun anda seorang yang berpendidikan tinggi dan berilmu banyak kerana segala sesuatu mempunyai hadnya termasuklah ilmu anda.
Benteng kebuntuan adalah isyarat supaya anda berehat, bertenang dan mengosongkan fikiran anda daripada bahan-bahan berkaitan pekerjaan. Anda perlu mengambil cuti dan memisahkan secara menyeluruh dengan pekerjaan anda buat seketika. Anda mesti berhadapan dengan salah satu daripada dua jenis kebimbangan. Pertama, anda keberatan untuk pergi jauh dari tempat kerja anda mungkin kerana anda bimbang jika anda tidak ada pekerja-pekerja lain tidak dapat mengeluarkan hasil sebagaimana ketika anda ada. Kemungkinan yang kedua ialah anda bimbang jika semasa ketiadaan anda ada pekerja di bawah anda mampu menghasilkan kerja yang lebih baik daripada apa yang anda dapat hasilkan, dan dengan demikian imej anda dan kedudukan anda tergugat. Walau jenis apa daripada dua jenis kebimbangan ini, ia akan menguasai anda dan menjadi racun yang boleh membunuh anda jika anda enggan melepaskannya.
Sekiranya anda bimbang dengan ketiadaan anda (kebimbangan pertama), kerja tidak dapat berjalan dengan baik, maka anda pergilah melawat Makam Pahlawan. Di sana anda boleh bertafakur mengambil iktibar. Di Makam Pahlawan itu bersemadi jasad tiga orang bekas Perdana Menteri negara. Semasa era Perdana Menteri Pertama rakyat umum berasa bimbang dan kurang yakin ada orang lain yang dapat mengambil alih jawatan tersebut dan menjalankan tugas sebaliknya. Bila Perdana Menteri Pertama mengundur diri jawatan tersebut diambil alih oleh orang lain di tengah-tengah kebimbangan dan ketidakyakinan rakyat umum. Perdana Menteri kedua membuktikan kebimbangan rakyat tidak berasas. Pembangunan negara terus berkembang sehingga menimbulkan kekaguman rakyat. Kekaguman itu sekali lagi melahirkan kebimbangan pada rakyat. Rakyat bimbang Perdana Menteri ketiga tidak mampu meneruskan arus pembangunan yang sedang pesat mengalir. Perdana Menteri ketiga membuktikan ketegasan dan disiplinnya mampu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan dua orang Perdana Menteri sebelumnya. Kemudian Perdana Menteri keempat mengambil alih jawatan yang paling penting di dalam negara itu. Beliau telah berjaya membawa perubahan besar kepada negara dalam banyak segi sehingga negara dikenali di seluruh dunia. Hal demikian menyebabkan ada sebahagian rakyat berasa bimbang dan menggertak diri mereka sendiri apakah yang akan terjadi bila tiba masanya Perdana Menteri yang sangat berwawasan ini mengundurkan diri. Apakah penggantinya mampu merealisasikan wawasan yang diasaskannya? Rakyat terus dihantui oleh kebimbangan demi kebimbangan. Tetapi, bertafakur di Makam Pahlawan membuat kita yakin bahawa negara tidak akan berhenti melahirkan pahlawan-paahlawan yang akan mengharumnkan nama negara ke seluruh dunia. Mungkin satu hari nanti lahir pahlawan-pahlawan yang akan memegang jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, membawa negara mengatasi Jepun dalam bidang teknologi, membawa negara menjadi satu kuasa besar dan lain-lain.
Kebimbangan yang kedua ialah anda takut kedudukan anda tergugat jika orang lain mampu menjalankan tugas anda. Mungkin kebanyakan orang menganggap kebimbangan begini sebagai satu perkara kecil yang tidak memberi kesan kepada kehidupan manusia. Jika kita kaji perjalanan sejarah dunia kita akan dapati kebimbangan yang dianggap kecil ini telah banyak merosakkan kehidupan manusia dan mengubah perjalanan sejarah. Ramai bos yang tidak memberi kesempatan kepada pegawai-pegawainya yang berpotensi kerana takut kedudukannya terancam. Ramai pemain bola sepak veteran sengaja memisahkan pemain baharu ketika latihan agar bakat pemain baharu itu tidak terserlah. Kebimbangan yang demikian juga membuat seorang raja menghalau adiknya dari negerinya atau memenjarakan adiknya itu agar tidak ada orang yang layak menggugat takhtanya. Kebimbangan yang seperti ini juga membuat pemimpin politik ‘menutup pintu’ kepada tokoh-tokoh politik yang boleh mencabar kedudukannya.
Kebimbangan yang nampaknya kecil ini sebenarnya adalah satu tenaga yang kuat dan sukar dikalahkan. Samalah seperti anak kecil yang takutkan hantu. Walau semua orang mengatakan hantu tidak wujud namun, anak kecil itu tetap takutkan hantu kerana hantu benar-benar wujud dalam khayalan dan fikirannya. Fikiran orang dewasa juga boleh diganggu oleh hantu dalam bentuk takut dan bimbangkan masa depan. Ketakutan dan kebimbangan seperti ini benar-benar wujud dalam diri seseorang itu, sama seperti penyakit barah yang mengenai tubuh badan. Apa yang penting bagi orang yang berkenaan ialah dia perlu menerima hakikat penyakitnya itu, sebagaimana pesakit barah menerima hakikat penyakitnya. Dia tidak perlu berasa malu untuk berubat demikian, sebagaimana pesakit barah tidak malu memberitahu doktor tentang penyakitnya. Jika seseorang itu berjaya mengakui dirinya berpenyakit bermakna dia sudah berjaya mengubati separuh daripada penyakit itu. Proses yang seterusnya adalah lebih mudah.
Sebaiknya orang yang menghidapi penyakit begini perlu menemui pakar psikologi dan menjalani rawatan psychotherapy. Pakar psikologi membantu pesakit menyelam ke dalam lautan sejarah hidupnya dan mencari serta mengenal-pasti punca-punca, gejala-gejala atau kejadian-kejadian yang telah mempengaruhi dan menguasai pesakit sehingga terbentuk sifat-sifat yang merosakkan dirinya sendiri. Pesakit dibawa melihat bagaimana kejadian yang sekian lama berlaku dahulu dapat mempengaruhi hidupnya. Pesakit juga dibawa memahami bagaimana dia telah membiarkan Kejadian menguasai dirinya dan bukan dia yang menguasai kejadian yang menimpanya. Pesakit diberikan kesedaran tentang apa yang akan terjadi apabila dia melepaskan kawalan terhadap dirinya dan tanpa disedarinya dia telah membiarkan dirinya ‘dirasuk’ oleh anasir luar yang dibawa oleh kejadian yang mengenainya. Bila dia dirasuk dia kehilangan sifatnya yang asli dan mengambil sifat yang terhasil daripada kejadian yang merasuknya itu sebagai sifatnya sendiri. Dia tidak sedar yang dia sudah menjadi tunggangan anasir kejadian yang menimpanya.
Kejadian yang berlaku semasa kanak-kanak banyak mempengaruhi dan menguasai seseorang dan membentuk peribadi yang dibawa sehingga mati. Misalnya, seorang ahli yang berjaya dalam kerjayanya, apabila ditanya bagaimana dia boleh berminat menjadi seorang politikus, dia mengeluarkan sekeping gambar hitam-putih yang dikerat dari suratkhabar yang telah lusuh. Gambar itu menunjukkan seorang kanak-kanak yang sedang bersalaman dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ahli politik itu memberitahu bahawa kanak-kanak dalam gambar itu ialah dirinya sendiri ketika berumur enam tahun. Tangannya pernah sekali bersalaman dengan Perdana Menteri. Mereka bersalam hanya beberapa saat sahaja namun, salaman ajaib itu telah memahatkan cita-cita dan azamnya untuk menjadi seorang ahli politik, macam Tunku Abdul Rahman. Dia tidak berganjak daripada cita-citanya yang tercipta daripada sentuhan Perdana Menteri itu.
Bagaimana pula kejadian pada zaman kanak-kanak dapat mempengaruhi seseorang menjadi ketagih kerja dan bimbangkan masa depan?
Kes yang diibuat kajian
Darif adalah anak yang paling tua dalam satu keluarga yang sangat miskin. Dia mempunyai lima orang adik beradik semuanya. Keluarganya tinggal di sebuah pondok buruk beratap nipah. Bila hari hujan tidak ada satu ruang di dalam pondok itu yang cukup luas bagi menampung seorang manusia untuk tidur tanpa terkena air hujan. Darif pernah mengalami kejadian serpihan atap nipah jatuh ke dalam pinggan ketika dia sedang makan nasi. Darif dipaksa oleh kemiskinan keluarganya supaya menyaksikan peristiwa adik bongsunya yang sangat disayanginya diserahkan kepada sepasang suami isteri yang datang dari bandar. Berpisah dengan adik bongsu tersayang sangat menyayat hatinya tetapi dia tidak berkuasa berbuat apa-apa. Dia tidak menyalahkan ibu bapanya kerana berubat demikian. Dia sedar semuanya itu terjadi disebabkan kemiskinan yang mereka hadapi. Diam-diam Darif berazam untuk membawa dirinya dan keluarganya keluar dari alam kemiskinan itu dan dia mengambil semula adik bongsu kesayangannya yang ‘dirampas’ daripadanya. Cita-cita, azam dan tekad membuat Darif belajar bersungguh-sungguh. Dia tidak memperdulikan hal lain kecuali pelajarannya. Dia merasakan orang lain tidak memperdulikannya kerana keluarganya miskin. Kaum keluarga sebelah ibu dan bapanya tidak pernah menjenguk mereka kerana mereka orang miskin. Darif mengalami peristiwa sedih kali keduanya apabila ibunya meninggal dunia. Hanya beberapa orang sahaja yang mengiringi jenazah ibunya ke tanah perkuburan. Darif melihat orang miskin sepertinya hidup tidak diperdulikan dan mati juga tidak diperdulikan. Masyarakat tidak memperdulikan keluarganya kerana mereka miskin. Darif yang miskin itu menyisihkan dirinya daripada masyarakat. Dia hanya bertemankan pelajarannya.
Satu hari di dalam kelasnya, Darif telah tersalah membuat karangan dan guru darjahnya menjadikan kesalahan itu sebagai teladan kepada murid-murid yang lain. Darif dipaksa membacakan karangannya di hadapan kelas. Semua murid mentertawakannya. Darif berasa sangat terhina. Walaupun dia anak orang miskin tetapi dia masih mempunyai harga diri. Dia tidak suka ditertawakan. Sejak hari itu dia sangat cermat dan teliti dalam membuat tugasan sekolahnya. Dia tidak mahu maruahnya tercemar lagi. Dipendekkan cerita Darif telah berjaya dalam persekolahannya. Dia kemudiannya mendapati pekerjaan yang baik. Pada hari pertama dia melaporkan diri bosnya telah memberi peringatan bahawa dia mahu melihat pekerja-pekerja di bawahnya bekerja dengan rajin, jujur, cermat dan berdedikasi. Dia tidak akan bertolak ansur dengan pekerja yang tidak mampu menyumbangkan hasil kerja yang baik. Darif memegang sungguh-sungguh pada peringatan pertama bosnya itu. Dia tidak mahu kehilangan pekerjaannya dan hidup susah seperti bapanya. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaannya. Dia tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya. Tumpuannya hanyalah pekerjaan. Dia sentiasa mencari jalan memperbaiki mutu kerjanya. Hari-hari yang baharu menampakkan mutu kerja Darif yang lebih baik, sentiasa meningkat kebaikannya sehingga mencapai peringkat cemerlang. Darif dinaikkan pangkat dan kemudian dinaikkan lagi ke pangkat yang lebih tinggi sehingga dia menjadi orang penting dalam organisasinya. Dia menjadi mata yang mengawasi perjalanan organisasinya. Dia terlibat membuat dasar organisasi. Dia adalah umpama jantung yang menghantar darah kepada semua anggota organisasinya. Begitulah kejayaan yang telah dicapai oleh Darif yang asalnya seorang anak miskin yang terpaksa berpisah daripada adik bongsu kesayangannya, dihina oleh kawan-kawan sedarjahnya dan disisih oleh masyarakat.
Mengapa Darif mudah tersinggung dengan kritikan ketuanya? Jika diselam dengan mendalam ke dalam lautan sejarahnya maka akan didapati ia berkait rapat dengan peristiwa guru kelas yang telah menjadikannya bahan tertawan. Peristiwa tersebut sentiasa hidup dalam jiwanya. Setiap kali ketuanya membuat kritikan terhadap dirinya, ‘lampu’ peristiwa itu akan menyala. Keadaan ini bukan bermakna wajah guru darjahnya itu yang sentiasa muncul dalam fikiran Darif. Perkara pokok yang menghantui fikiran Darif ialah pengalamannya yang merangkumi perasaan dan sebagainya.
Kita ambil satu contoh. Katakan kita pernah terpegang seekor ular pada masa lalu. Pengalaman itu melahirkan rasa geli yang amat sangat. Kejadian memegang ular hanyalah satu pengalaman yang berlaku beberapa ketika sahaja tetapi rasa geli yang lahir daripadanya tertanam dan tersembunyi erat dalam jiwa kita. Rasa geli itu akan muncul apabila kita berhadapan dengan sesuatu yang menyerupai ular, misalnya tali atau tali pinggan.
Peristiwa adalah alat yang melahirkan sesuatu daya-rasa atau sifat. Misalnya, seorang pemuda pernah dikecewakan oleh seorang gadis. Pengalaman itu melahirkan sifat tidak mempercayai semua perempuan pada jiwa pemuda tersebut. Setiap kali ada perempuan yang cuba mendekati pemuda itu maka perempuan tersebut akan mendapat layanan yang kasar. Begitulah juga keadaan Darif yang memakai sifat-sifat yang terbentuk oleh kejadian yang menimpanya terutamanya ketika dia kanak-kanak.
Mengapa pula Darif sangat sensitif dengan isterinya? Kehidupan awalnya membuat Darif bermusuhan dengan kemiskinan. Kemiskinan adalah musuh tradisinya. Dia telah berusaha bersungguh-sungguh, berjuang dan berkorban sehingga akhirnya dia berjaya mengalahkan musuhnya itu. Kejayaan dalam pekerjaan adalah kemenangan baginya. Bila isterinya cuba menariknya daripada hal-hal yang berkaitan dengan pekerjaannya, dia merasakan isterinya tidak menghargai pengorbanan dan kejayaannya. Baginya tanpa pengorbanan dan kejayaan itu tidak mungkin mereka sekeluarga boleh hidup senang, tidak seperti keluarganya di kampung dahulu. Sesiapa sahaja yang tidak menyebelahi pekerjaannya bermakna mereka menyebelahi musuh tradisinya. Dia boleh menerima jika orang lain berbuat demikian tetapi dia sangat tersinggung jika isterinya sendiri bersefahaman dengan musuhnya. Atas dasar yang sama dia mudah naik radang dengan anaknya. Darif pernah mengalami penderitaan batin akibat berpisah daripada adik bongsunya. Perpisahan itu menyebabkan terjadi kekosongan pada satu bahagian daripada hatinya. Kekosongan tersebut melahirkan  satu bentuk peribadi pada dirinya. Anaknya menjadi suis yang menyalakan peribadi tersebut. Kemarahannya kepada anaknya lebih merupakan rasa kecewanya terhadap dirinya kerana tidak berdaya menghalang perpisahan daripada adik bongsunya dahulu. Pada zahirnya dia memarahi anaknya tetapi hakikatnya dia memarahi dirinya sendiri ketika dia kanak-kanak dahulu.
Darif mencapai kejayaan dalam kerjayanya. Tetapi, dia terus juga menambahkan kelajuannya kerana dia telah mendidik dirinya bertahan-tahun menggunakan keupayaan pada aras yang maksimum. Dia hanya mahu menambahkan kelajuan sahaja. Sikap ini mengakibatkan dia kelesuan dan membawanya sesat dalam kebuntuan.
Darif boleh mengesan punca penyakitnya dengan menyelam ke dalam lautan sejarahnya sendiri. Pengetahuannya tentang proses pembentukan sifat dan keperibadiannya akan membantunya mengubati penyakitnya. Perjalanan kehidupan telah mengasuhnya supaya mempunyai jiwa yang kuat. Perkara ini adalah bagus. Kekuatan jiwa itu telah membawanya mencapai apa yang dia cita-citakan. Kesilapannya hanya sedikit sahaja iaitu dia membiarkan kekuatan jiwanya itu mengawal dirinya dia sendiri yang mengawal kekuatan itu.
Kita misalkan jiwa sebagai sebuah negara. Negara tersebut dijajah dan rakyat perlu menentang penjajahan tersebut. Rakyat memerlukan pemimpin yang berjiwa kuat dan mempunyai satu bentuk keperibadian yang boleh memandu dan memberi semangat kepada rakyat untuk berjuang. Biasanya pemimpin yang berjiwa dan berperibadian demikian, walaupun berjaya membawa kemerdekaan kepada negaranya namun, dia mempunyai kekurangan dalam menggunakan sebaik mungkin kemerdekaan yang telah dicapai. Banyak negara di dunia mengalami kemunduran selepas mencapai kemerdekaan dan dipimpin oleh pejuang kemerdekaan. Hal ini disebabkan semangat menentang penjajah berkobar terus, tidak berubah menjadi semangat membangun negara. Perubahan ke arah yang lebih baik hanya berlaku apabila negara tersebut diperintah oleh orang lain yang tidak terlibat dalam menentang penjajah. Semangat dan kekuatan mencari kemerdekaan boleh merosakkan kemerdekaan jika tidak dikawal. Perkara yang sama juga boleh terjadi kepada diri kita. Kekuatan untuk mencapai kejayaan, dan kekuatan mengawal kejayaan yang sudah diperolehi adalah berbeza. Kejayaan diperolehi dengan kekuatan yang melonjak-lonjak dan kurang kawalan, Setelah kejayaan diperolehi kekuatan tersebut perlu dikawal agar kejayaan tidak menjadi rosak.
Darif perlu menyusun semula dirinya dengan meletakkan semua peralatan yang ada Padanya, di bawah kawalan yang matang dan berhemah. Darif perlu mengubah peranannya daripada menjadi ‘mata’ yang mengawasi anggota organisasi kepada ‘jambatan’ yang menyambung individu dalam organisasi. Dia tidak perlu menjadi nadi organisasi, dia hanya perlu menjadi penyelaras yang mengharmonikan perjalanan organisasi. Dia tidak perlu melihat kepada pencapaian peribadinya tetapi melihat pencapaian kumpulannya. Dia hendaklah lebih yakin untuk mengagihkan kerja kepada individu-individu di bawahnya. Perubahan sikap begini akan menjadikannya lebih bijak mengawal pekerjaan tanpa menjejaskan produktiviti secara berkumpulan. Pada masa yang sama juga dia berpeluang untuk mengisi masanya bersama-sama keluarga dan masyarakat.
Darif adalah contoh manusia yang terjebak dalam penyakit ketagih kerja akibat pengalaman hidup sewaktu kecil. Ada juga orang yang menjadikan pekerjaan sebagai tempat pelarian kerana masalah rumahtangga.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar