Dengan nama Allah, pemurah dan penyayang. Segala puji dan puja khusus untuk-Nya Yang Maha Agung, Maha Tinggi, Maha Suci dan bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Selawat dan salam ke atas insan yang paling mulia di antara yang mulia, penghulu sekalian makhluk, Nabi Muhammad s.a.w. yang Cahaya Kebenarannya sentiasa menerangi alam ini, menabur mutiara ilmu sepanjang liku zaman dan mendakap sekalian kewujudan dengan tangan rahmat yang dikurniakan kepadanya. Salam sejahtera untuk keluarga baginda dan para sahabat yang telah menjadikan dada mereka sebagai benteng menghalang panah musuh dari sampai kepada Rasulullah s.a.w. yang tercinta, dan menjadi pembawa obor Cahaya Kebenaran untuk disampaikan kepada generasi seterusnya. Salam sejahtera juga untuk sekalian para salihin dan mujahidin semua zaman yang terus menerus, bersilih ganti memikul obor suci itu. Dengan pengorbanan mereka, Allah s.w.t terangi alam ini dengan Cahaya Taufik dan Hidayah-Nya serta memakmurkan kewujudan ini dengan Rahmat-Nya. Kesejahteraan untuk sekalian para hamba yang menetapkan tapak kaki mereka di atas bumi yang bercahaya dan meninggalkan tanah hitam yang kelam.
Buku ini terhasil daripada renungan terhadap persoalan mengenal diri. Di dalam proses mengenal diri yang asli seseorang itu harus terlebih dahulu mengenali dirinya yang terbentuk daripada pengalaman hidup atau diri yang terbentuk daripada tindak tanduk sebab musabab yang menguasai perjalanan hidupnya. Diri yang terbentuk secara demikian mempunyai dua jenis sifat, iaitu sifat yang baik dan sifat yang tidak baik. Buku ini memberikan penekanan kepada sifat yang tidak baik yang merosakkan kehidupan manusia. Mengenali aspek yang tidak baik memudahkan seseorang mencari jalan untuk menghapuskan yang tidak baik itu.
Dalam menyingkap kedirian manusia yang terbentuk oleh pengalaman hidup, perhatian ditumpukan kepada aspek psikologi semata-mata. Buku ini cuba menyingkap perkembangan jiwa manusia apabila dipengaruhi oleh sesuatu atau suasana. Buku ini mengajak para pembaca untuk ikut sama meneliti beberapa kes yang dijadikan bahan kajian. Adalah diharapkan agar kes-kes tersebut boleh dijadikan sebagai cermin untuk melihat kepada diri (pembaca) sendiri. Semoga cermin tersebut dapat membantu para pembaca mengesan kerosakan-kerosakan yang sudah atau sedang berlaku dalam dirinya.
Perlu ditegaskan bahawa buku ini tidak ditujukan kepada pelajar-pelajar ilmu psikologi di pusat-pusat pengajian tinggi. Buku ini tidak menyentuh penelitian yang dilakukan dalam ilmu psikologi. Istilah-istilah psikologi pun tidak digunakan oleh penyusun. Kita menunjukkan buku ini kepada umum untuk menggerakkan minda masyarakat agar lebih peka kepada aspek kejiwaan yang mempengaruhi kehidupan mereka. Penyusun ingin mengajak masyarakat meneliti semula banyak perkara yang diabaikan selama ini.
Dalam meneliti pengalaman hidup dan perkembangan jiwa ini kita (penyusun dan pembaca) telah menggunakan cara ‘mencabut’ agama dari jiwa manusia yang dijadikan bahan kajian. Kita akan dapati tanpa agama manusia tidak mampu bertahan untuk mengharungi arus kehidupan yang diterakkan oleh tenaga-tenaga perosak yang datang bersama-sama pengalaman hidup seseorang itu. Oleh sebab kesan yang muncul daripada tindakan tenaga perosak tersebut merupakan pengaruh besar ke atas manusia mahupun secara individu atau masyarakat, oleh itu penelitian yang lebih mendalam dan halus mesti diberikan kepada persoalan menyingkap hakikat tenaga perosak tersebut.
Penyingkapan ini diibuat berdasarkan maklumat yang diberikan oleh agama. Jadi, bermula dari tangga psikologi, kita melompat ke dalam medan agama untuk mencungkil rahsia kerosakan yang berlaku ke atas umat manusia. Dalam medan agama kita menemui sebab musabab yang bertali arus mempengaruhi kehidupan manusia. Kita tidak sahaja melihat sebab musabab yang nyata berlaku di hadapan mata bahkan kita mendapati lebih banyak sebab musabab yang tersembunyi dan ghaib yang bertindak secara tidak langsung mempengaruhi kehidupan manusia. Aspek inilah yang ingin kita tekankan agar sama-sama diberi perhatian terhadapnya.
Sebab musabab yang samar-samar dan tidak ketara ini banyak menimbulkan bala bencana dalam keluarga, masyarakat dan seterusnya memberi kesan mendalam kepada negara. Percubaan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dengan cara menekankan aspek zahir semata-mata telah tidak mendatangkan banyak hasil. Masalah terus juga merebak dengan laju walaupun orang-orang yang terlibat ditakutkan dengan hukuman atau denda yang berat.
Buku ini bertujuan mengajak masyarakat supaya tidak semata-mata berpegang kepada aspek zahir, tetapi haruslah juga menitik-beratkan aspek ghaib. Mungkin apa yang tidak mampu diselesaikan oleh hukum zahir dapat ditangani oleh hukum ghaib.
Akhirnya kita serahkan pekerjaan kita kepada Allah s.w.t Yang Maha Melihat, Maha Mendengar.
Wassalam.
MOHAMAD NASIR
TERENGGANU DARUL IMAN
Tidak ada komentar:
Posting Komentar