Jumat, 01 April 2011

2: PENGENALAN


Bila disebut sahaja tentang penyakit terbayanglah kepada kita penyakit-penyakit yang pernah kita alami dan dialami juga oleh orang lain. Ada penyakit yang menyerang tubuh badan dan ada penyakit yang menyerang jiwa atau perasaan. Berbagai-bagai istilah digunakan untuk membezakan di antara satu penyakit dengan penyakit yang lain. Dalam senarai nama-nama penyakit semua huruf dari A hingga ke Z digunakan, menunjukkan banyaknya penyakit-penyakit yang telah dikesan dan dikenalpasti oleh manusia. Kadang-kadang seseorang pesakit lebih takut kepada istilah penyakit daripada penyakit itu sendiri. Istilah yang paling ditakuti oleh manusia zaman ini ialah AIDS kerana ilmu perubatan belum mempunyai kemampuan yang memuaskan untuk menangani penyakit tersebut.
Penyakit bukan sahaja melanda masyarakat dan manusia malah haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga berhadapan dengan penyakit. Benda-benda galian juga menghadapi penyakit. Contohnya besi, penyakitnya berkarat dan nasi pula penyakitnya ialah basi. Penyakit Adalah sesuatu yang menyeluruh, menyerang yang bernyawa dan yang tidak bernyawa. Apabila penyakit menyerang yang bernyawa maka mangsanya diheret kepada kematian. Bila penyakit menyerang yang tidak bernyawa maka mangsanya diheret kepada kebinasaan iaitu rosak, reput atau hancur.
Penyakit menjadi musuh utama manusia. Manusia tidak menyerah bulat-bulat kepada keganasannya. Dalam menangani masalah penyakit, manusia mengambil langlah-langkah mengubati orang yang telah dihinggapi penyakit dan melakukan pencegahan kepada yang belum berpenyakit. Perbelanjaan yang besar digunakan bagi tujuan rawatan dan pencegahan tersebut. Kajian demi kajian dilakukan, hasilnya muncullah para doctor yang pakar dalam semua bidang penyakit. Muncullah ubat-ubatan yang boleh mengubati penyakit. Hospital dibina di merata-rata tempat. Tidak cukup dengan perubatan moden, ada pula perubatan tradisional, yang semuanya dituju untuk mengubati penyakit atau mencegahnya.
Manusia boleh mencegah dan mengubati tetapi tidak berupaya untuk menghapuskan penyakit. Seseorang yang belum terkena penyakit boleh melakukan usaha pencegahan sehingga dia terhindar daripada penyakit tersebut. Orang yang telah diserang penyakit boleh berubat sehingga penyakitnya sembuh namun, tidak ada ubat dan alat untuk menghapuskan penyakit. Penyakit akan berjalan terus dari satu orang kepada orang yang lain. Apa yang manusia lakukan. Adalah merawat kesan daripada tindakan penyakit atau mengadakan langkah kawalan dari terkena kesannya sedangkan penyakit itu sendiri tidak dapat ditangani. Bagaimana mahu menangani penyakit sedangkan tidak ada yang pernah melihat penyakit dan tidak diketahui hakikatnya yang sebenar. Apa yang dilihat atau diketahui. Adalah kesan atau akibat dari tindak tanduk penyakit sementara hakikat penyakit itu sendiri tersembunyi. Manusia boleh merasai kesakitan tetapi mereka tidak boleh melihat atau menjelaskan apakah yang sebenarnya kesakitan itu. Kehadirannya boleh dirasakan tetapi tidak boleh dirupakan dan diperjelaskan.
Penyakit yang melibatkan tubuh badan biasanya mudah dikesan. Pesakit menyedari yang dia berpenyakit walaupun dia tidak pasti apakah penyakitnya. Kesedaran tersebut membawanya berjumpa dengan doctor untuk mendapatkaan rawatan. Jadi, sebarang penyakit yang mengenai tubuh badan mudah dikesan dan rawatannya senang didapati di hospital dan di klinik-klinik yang terdapat di merata tempat.
Namun, terdapat banyak penyakit yang tidak mengenai tubuh badan tetapi sangat sukar dikesan. Orang yang berpenyakit tidak mengetahui dan tidak menganggap dirinya berpenyakit. Bahkan kebanyakan manusia menganggap penyakit tersebut sebagai bukan penyakit. Tetapi, sekiranya direnung dengan mendalam didapati penyakit yang tidak dianggap sebagai penyakit itu sangat membahyakan kepada kehidupan manusia, lebih berbahaya daripada penyakit yang menyerang tubuh badan. Cuba kita perhatikan akibat yang timbul daripada penyakit-penyakit yang dianggap sebagai bukan penyakit itu.
CONTOH PERTAMA
Seorang kanak-kanak berumur tiga tahun mati akibat didera. Seluruh masyarakat mengakui bahawa kematian itu Adalah akibat deraan. Perbuatan mendera adalah perubatan yang kejam. Orang yang melakukannya dikatakan seorang yang kejam. Si pendera itu dianggap sebagai seorang yang kejam bukan sebagai seorang yang berpenyakit.  Kita tidak melihat bahawa orang tersebut menghidapi  penyakit yang menyebabkan dia boleh bertindak kejam dan ganas. Kekejaman bukanlah sifatnya tetapi ia adalah sifat penyakit yang dihidapinya. Oleh sebab orang tadi tidak tahu dia berpenyakit dan orang lain juga tidak sedar dia berpenyakit maka penyakit itu dapat bergerak dengan bebas menguasai orang itu sehingga dia tidak ada daya melawan. Bila penyakit sudah dapat menguasainya, maka penyakit tersebut menyalurkan sifat-sifatnya kepada orang tadi. Si mangsa hanya menjadi alat kepada penyakit yang menguasainya. Penyakit itulah yang mendera kanak-kanak berkenaan sehingga mati, dengan menggunakan manusia sebagai alatnya.
CONTOH KEDUA
Seorang isteri cuba sedaya upaya untuk menyenangkan hati suaminya. Dia bersopan santun dengan isterinya, menguruskan rumahtangga dengan baik dan menjaga keperluan suaminya dengan teratur. Pendek kata jika ada pertandingan isteri mithali maka sang isteri ini layak memenanginya. Secara lojiknya sang suami tentunya berpuas hati mempunyai isteri yang baik serta bertanggungjawab dan tentunya sang suami juga menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab. Tetapi, yang lojik tidak terjadi sebaliknya yang tidak lojik pula yang berlaku. Sang suami tidak pernah menunjukkan sikap berpuas hati dengan isterinya. Dia sentiasa mengomel. Ada sahaja perbuatan isterinya yang tidak kena pada pandangannya. Bukan setakat itu sahaja bahkan sang suami gemar memikul isterinya tanpa alasan yang munasabah. Sang isteri pula boleh menerima deraan suaminya seolah-olah deraan itu satu kemanisan bagi rumahtangga mereka. Sang suami gemar menunjukkan kejantanannya dengan memikul isterinya dan dia berasa puas mendengar isterinya merayu dan menyambahnya. Sang isteri pula merasakan dia telah membuktikan kasih sayangnya dengan menerima deraan suaminya. Bahkan sang isteri itu berasa bangga bila dia mengugut mahu meninggalkan suaminya maka sang suami itu merayu pula kepada isterinya sambil memohon ampun dan maaf atas kekasaran yang telah dilakukannya.
Suami isteri ini menganggap fenomena yang berlaku dalam rumahtangga mereka sebagai sesuatu yang normal. Mereka tidak merasakan yang mereka berdua berpenyakit. Orang di keliling mereka juga tidak menganggap pasangan tersebut berpenyakit. Maka tidak ada usaha pengubatan dilakukan.
CONTOH KETIGA 
Satu perlawanan bola sepak semi-pro diadakan di antara pasukan Terengganu dengan pasukan Kelantan. Perlawanan yang berlangsung selama sembilan puluh minit berkesudahan dengan seri. Satu gol pasukan Terengganu tidak dikira kerana ‘off-side’ dan satu gol pasukan Kelantan tidak dikira kerana ‘hand-ball’. Pengadil telah meniupkan wisel menandakan tamat perlawanan. Wisel pengadil menamatkan perlawanan di atas padang tetapi memulakan perlawanan di luar padang. Penyokong kedua-dua pasukan berlawan dengan hebatnya, lebih hebat daripada perlawanan pemain-pemain. Lima orang cedera parah dan dimasukkan ke wad kecemasan, sepuluh orang diberi rawatan pesakit luar, lima puluh orang dimasukkan ke dalam lokap, dua buah bas terbakar, sembilan buah kereta rosak, kedua-dua tiang gol dicabut dan yang paling malang ialah pengadil yang dipukul oleh kedua-dua belah pehak hingga separuh mati. Kejadian seperti ini dianggap perkara biasa dan lambang kemajuan bola sepak, tidak sebagai penyakit yang berbahaya. Penyakit ini dibiarkan hidup subur dan akan menampakkan dirinya sekali lagi pada musim semi-pro akan datang.
CONTOH KEEMPAT
Seorang jutawan telah ditangkap kerana pecah amanah. Dia didapati bersalah kerana menyalahgunakan wang pelabur-pelabur syarikatnya untuk kepentingan peribadi. Jutawan ini sudah mempunyai wang yang banyak yang tidak habis digunakan, mengapa masih juga teringinkan wang orang lain? Dia diterima sebagai pesalah tetapi tidak diiktiraf sebagai pesakit. Dia tidak dianggap sebagai berpenyakit yang memaksanya mengambil wang orang lain yang lebih miskin daripadanya.
CONTOH KELIMA
Seorang suami yang sangat menyayangi isterinya menatang isterinya dengan penuh kasih sayang dan kemewahan. Isterinya pula membalas dengan memberinya layanan yang penuh dengan kemesraan. Bahagia sekali kehidupan mereka. Si suami tidak ragu-ragu untuk meninggalkan rumahnya di bawah jagaan isteri tercinta. Bila dia keluar negeri untuk beberapa hari kerana urusan pekerjaan, dia sangat yakin dengan kesetiaan isterinya. Lantaran sangat rindukan isterinya, satu hari dia memendekkan urusannya di luar negeri. Pada hematnya, sesudah beberapa hari isterinya tidak melihatnya tentu isterinya itu sangat merinduinya, seperti yang dia sendiri rasakan. Dia mahu pulang dengan ‘surprise’.
Dia memasuki rumahnya dengan diam-diam. Dicarinya isterinya di ruang tamu tidak ada. Di dapur juga tidak ada. Agaknya isterinya sedang tidur kerana kesunyian tinggal sendirian. Lalu dia berjalan perlahan-lahan ke bilik tidurnya supaya isterinya akan terkejut nanti apabila melihatnya tiba-tiba sudah berada di sampingnya.
Dia membuka pintu biliknya dengan perlahan-lahan. Apabila dia membuka pintu biliknya dia berhadapan dengan satu pemandangan yang sangat-sangat memeranjatkan. Dia hilang kesedaran dan tidak tahu apa yang berlaku. Apabila kesedarannya datang kembali dilihatnya isterinya sudah menjadi mayat dan di sebelah mayat isterinya terbujur mayat seorang pemuda yang tidak dikenalinya. Dia melihat pistol berada di tangannya tetapi dia tidak ingat bila dia melepaskan tembakan. Peristiwa itu terjadi dengan cepat sekali sehingga dia tidak tahu dan tidak ingat apa yang sebenarnya berlaku. Bila dia dipenjarakan, dia masih tertanya-tanya samada dia atau ada orang lain yang telah menembak isterinya dan pemuda di dalam bilikn tidurnya.
CONTOH KEENAM
Sepasang suami isteri yang lain pula berkongsi kehidupan yang kelihatan sangat bahagia. Si suami tidak pernah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap isterinya apalagi memarahinya. Si isteri tidak nampak sebarang tanda yang suaminya menyimpan niat yang tidak baik terhadap dirinya. Kehidupan rumahtangga mereka berjalan dengan baik tanpa sebarang persengketaan. Si suami tidak pernah tidak pulang ke rumah walau bagaimana sibuk sekalipun urusan di luar rumah. Si isteri berasa sangat bertuah mempunyai suami yang tidak cerewet dan tidak tahu memarahi isteri.
Satu hari si suami tidak pulang ke rumah. Si isteri sangat bimbang kerana suaminya tidak pernah berubat demikian. Dia mengagakkan suaminya terlibat dengan kemalangan jalan raya dan mengalami kecederaan yang parah. Kalau tidak masakan suaminya tidak pulang. Dihubunginya pehak polis dan hospital. Pihak polis dan hospital mengesahkan tidak ada sebarang kemalangan yang melibatkan orang yang digambarkan oleh si isteri itu. Si isteri menjadi semakin bingung. Dihubunginya teman-teman suaminya. Mereka juga tidak tahu ke mana suaminya pergi. Mereka menceritakan bahawa suaminya kelihatan biasa sahaja pada setiap hari. Mereka tidak nampak tanda-tanda dia bermasalah. Si isteri menjadi semakin cemas dan tertanya-tanya apakah yang telah terjadi ke atas suaminya.
Pada keesokan harinya pertanyaan si isteri itu terjawab. Posmen membawa sepucuk surat daripada suaminya. Suaminya menulis dengan ringkas sahaja bahawa dia telah menceraikan isterinya dengan talak satu dan alasan yang diberinya ialah jodoh mereka ditakdirkan setakat itu sahaja. Si isteri tercengang. Dia sekali-kali tidak menduga perkara seperti itu berlaku kepadanya. Dia tidak tahu apakah kesalahannya dan dia tidak diberi kesempatan untuk mengetahuinya. Dia tidak dapat memahami apakah yang terjadi kepada suaminya sehingga dia tergamak berubat demikian.
CONTOH KETUJUH
Di sebuah kilang ada seorang pekerja yang sangat rajin. Dia membuat sebarang kerja yang diarahkan kepadanya. Dia tidak pernah merungut walaupun kerja yang diberikan kepadanya berat. Dia juga tidak pernah meminta agar dinaikkan gajinya supaya sepadan dengan kerja yang dilakukannya. Majikannya sangat berpuas hati dengannya dan dia dijadikan pekerja contoh. Satu hari si majikan terkejut menerima surat perletakan jawatan daripada pekerja contoh tadi. Tidak ada sebarang alasan yang diberi. Dia juga tidak menerima sebarang tawaran daripada firma lain. Tidak ada sesiapa mengetahui apakah rancangannya. Setelah meletak jawatan beberapa bulan dia masih lagi menganggur. Mengapa dia meninggalkan pekerjaannya dan memilih jalan menganggur.
Contoh-contoh yang telah diberi menggambarkan tentang penyakit-penyakit yang bukan sekadar sukar dikesan bahkan kebanyakan manusia tidak menganggapnya sebagai penyakit. Apa yang berlaku dianggap sebagai lumrah hidup bukan kesan daripada penyakit. Sikap yang demikian menyebabkan penyakit-penyakit berkenaan bebas bergerak membinasakan kehidupan manusia tanpa dikesan, tanpa dirawat dan tanpa dilakukan langkah pencegahan. Manusia memberi perhatian yang serius kepada penyakit tubuh badan. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk mengubati penyakit yang menyerang tubuh badannya tetapi membiarkan begitu sahaja penyakit yang lebih merbahaya daripada penyakit tubuh badan ini.
Ada ibu bapa tidak menyedari anaknya menghidapi penyakit yang tenat sehinggalah si anak itu membunuh diri. Guru-guru tidak mengetahui muridnya berpenyakit sehinggalah murid itu tidak datang ke sekolah. Majikan tidak mengetahui pekerjanya berpenyakit sehinggalah pekerja itu menggelapkan wang syarikat. Seorang Presiden tidak mengetahui Setiausaha Negaranya berpenyakit sehinggalah si Setiausaha Negara itu menjual rahsia kerajaan kepada musuh negara. Banyak lagi perkara yang lahir dari penyakit yang dianggap sebagai bukan penyakit. Boleh dikatakan kita semua mempunyai sedikit atau banyak penyakit daripada jenis yang tidak disedari itu. Kita adalah umpama bom jangka yang mungkin meletup bila-bila masa sahaja di tengah-tengah masyarakat. Sebelum bom jangka kita meletup kita menyangkakan diri kita orang yang normal dan orang yang di sekeliling kita juga menyangka kita normal.
 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar